so cam leh dh ckp cina?
Sunday, April 19, 2009
Otai btol la mat² somalia nih~!
Lanun Somalia dianggap wira
KETIKA dunia tertumpu kepada pergolakan di Iraq, Afghanistan dan Sri Lanka, ada satu lagi peperangan yang seakan-akan tiada pasang surutnya - ancaman lanun di perairan Somalia.
Lanun ganas ini terbukti jauh berbeza daripada gambaran filem 'The Pirates of the Caribbean’ yang masih segar dalam ingatan ramai. Jika dalam filem itu, karektor lanun comot dan senjatanya sekadar meriam dan pistol, lanun sebenar di Somalia bukan calang-calang. Biarpun tanpa kapal mewah atau pakaian seragam khas, mereka sebaliknya sarat dengan kelengkapan persenjataan serba canggih, termasuk Sistem Kedudukan Global (GPS).
Tidak hairanlah, kapal yang menggunakan laluan Teluk Aden sepanjang 3,300 kilometer yang disifatkan perairan paling bahaya di dunia, dengan mudah ditawan lanun moden ini.
Serangan mereka pula semakin menjadi-jadi dan sejak 1 Mac lalu saja, sebanyak 25 serangan dicatatkan, termasuk tujuh kapal dirampas. Malah, sebanyak 293 serangan lanun dilaporkan di seluruh dunia sejak 2008, tetapi kejadian di sekitar Teluk Aden itu menyaksikan peningkatan hampir 200 peratus berbanding 2007.
Sebut apa saja, kapal dagang dan kapal layar membawa muatan daripada kelengkapan tentera, minyak mentah, bijirin dan hasil bumi lain, semuanya sudah ditawan lanun kulit hitam ini. Ancamannya sebegitu serius sehinggakan tiada siapa pun pernah menyangka pada tahun ini, masyarakat antarabangsa boleh mengisytiharkan peperangan ke atas lanun. Berikutan itu, barisan armada tentera laut Britain yang dibantu tentera lebih 12 negara, termasuk Amerika Syarikat dan China, diberi tugas menangani barisan lanun moden ini.
Saban hari kita dipaparkan dengan kekejaman mereka, tetapi tidak ramai yang tahu kisah duka di sebalik kemunculan lanun ini.
Jika diimbas, zaman ‘keemasan’ lanun itu sekitar 1650 hingga 1730. Namun, tidak ramai yang tahu, idea memaparkan lanun sebagai kelompok kejam adalah sebahagian propaganda kerajaan Britain. Ketika itu, ramai penduduk yang maklum, lanun itu sebaliknya menjadi mangsa kekejaman dan penindasan pemilik kapal dagang seperti dinyatakan pakar sejarah Barat, Marcus Rediker dalam bukunya ‘Villains of All Nations.’
Di Somalia, cerita itu juga tidak bezanya. Dunia menggelarkan mereka lanun, tetapi penduduk tempatan melihat mereka sebagai wira mempertahankan tanah air dan keadaan ini ketara pada 1991 selepas kejatuhan kerajaan dipilih rakyat. Lebih malang, selain keadaan politik tidak stabil, kira-kira sembilan juta penduduknya dihimpit kesengsaraan, termasuk kelaparan.
Negara Barat yang sepatutnya membantu, sebaliknya menjadikan penderitaan mereka sebagai peluang merompak hasil negara itu daripada bekalan makanan dan sumber lautan sehinggalah menghumbankan sisa nuklear di perairan negara itu.
Satu demi satu kapal Eropah yang tidak dikenali, mulai muncul di kawasan perairan itu dan membuang bertong-tong sisa nuklear ke dalam laut. Berikutan itu, penduduknya jatuh sakit dan mengalami ruam, loya serta kecacatan bayi.
Buktinya ketara selepas kejadian tsunami 2005 apabila beratus-ratus tong sisa itu terdampar di pantai dengan lebih 300 orang mati akibat radiasi.
Ini diakui sendiri Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Somalia, Ahmedou Ould-Abdallah, yang dipetik media antarabangsa, baru-baru ini.
“Ada pihak yang sengaja membuang sisa nuklear, plumbum serta logam berat seperti raksa. Sebahagian besarnya sisanya dari hospital serta kilang di Eropah. Tugas pembuangan itu diserahkan kepada sindiket mafia Itali yang mengenakan bayaran khidmat murah dan bertindak rakus membuang sisa itu dengan cara mudah.”
Apabila ditanya apakah reaksi kerajaan Eropah, Ahmedou berkata: “Tiada apa. Tiada pembersihan, tiada wang ganti rugi atau sebarang langkah mengelak perkara itu berulang lagi.”
Kapal Eropah ini turut merompak hasil utama penduduk Somalia iaitu hasil laut mereka. Selepas perairan sekitar benua Eropah kekeringan hasil tangkapan laut, mereka beralih ke perairan Afrika itu untuk merompak hasil ikan tuna, udang dan udang karah yang bernilai lebih RM1 bilion.
Ini menyebabkan nelayan tempatan merana, hilang punca rezeki serta kelaparan. Mereka bertindak mengusir kapal dagang yang membuang sisa nuklear atau sekurang-kurangnya mengenakan ‘cukai’ ke atas mereka. Peranan ini dipikul kumpulan yang dikenali sebagai ‘Sukarelawan Pengawal Pantai Somalia.’ Malah, hasil tinjauan media bebas Somalia, WardheerNews, mendapati 70 peratus penduduk menyokong kumpulan itu yang menyifatkan kegiatan lanun itu sebagai antara cara mempertahankan tanah air.
Ini diakui sendiri seorang ketua lanun, Sugule Ali yang menegaskan mereka bukanlah perompak atau lanun.
“Lanun sebenar adalah mereka yang datang merampas punca pendapatan kami serta membuang sisa nuklear di sini.”
Sukar sebenarnya bagi kita untuk menelah naluri insan dilabelkan sebagai lanun oleh media Barat, sebaliknya dianggap wira oleh rakyat tempatan, apa lagi selepas saban hari dipaparkan dengan jenayah dilakukan mereka ini.
Apa yang pasti, seperti juga di kebanyakan negara lain yang bergolak, konflik dan ancaman yang berlaku itu hasil ‘cop jari’ kuasa Barat. Kini dengan kehadiran armada tentera laut negara asing di Somalia, ramai yang menunggu nasib kelompok lanun itu selepas ini biarpun hakikatnya ia tidak mungkin menamatkan terus ancaman mereka.
Info: Lanun di Somalia
- Somalia terbabit dalam perang saudara sejak 1991
- Kebanyakan lanun itu dikatakan berusia antara 20 hingga 35 tahun
- Tiga kumpulan iaitu:
- Bekas nelayan - perancang utama kerana mahir selok belok perairan sekitar
- Bekas anggota militia - tenaga penting kerana pengalaman memerangi kumpulan panglima perang
- Pakar teknikal - mahir soal komputer dan tahu mengendalikan peralatan teknologi serba canggih seperti telefon satelit dan persenjataan
- Sebahagian besar kapal ditawan di laluan perkapalan Teluk Aden yang terletak di antara Yemen (utara), Somalia (di selatan) dan di timur Laut Arab.
- Laluan itu sepanjang 3,300 kilometer yang juga kawasan laut paling bahaya di dunia
- Kira-kira 20,000 kapal melalui Teluk ini untuk ke dan kembali dari Terusan Suez
- Membawa barangan seperti berjuta-juta tan minyak mentah, bijirin dan arang batu
- Purata wang tebusan kira-kira AS$2 juta (RM7.24 juta)
- 25 serangan ke atas kapal, tujuh dirampas sejak 1 Mac lalu
- 293 serangan lanun di seluruh dunia sejak 2008 dan kejadian di Teluk Aden meningkat hampir 200 peratus berbanding 2007
Panjang atau pendek?
Di sudut adat pula, golongan yang berambut panjang selalunya dipanjang sinis, sering dianggap tidak berdisiplin dan banyak kes dikaitkan dengan tabiat kurang baik, walaupun bukan semua mereka begitu.
Ini berbeza dengan imej rambut pendek, yang kelihatan kemas, bersih dan berdisiplin, walaupun sesetengahnya tidaklah sedemikian, bahkan mereka yang berambut pendek kadangkala berperangai lebih teruk.
Tetapi salahkah lelaki Islam menyimpan rambut dan membiarkannya panjang? Tidakkah Nabi Muhammad s.a.w yang menjadi ikutan umat Islam juga mempunyai rambut panjang dan bukankah ia suatu sunnah, mengikuti jejak langkah kehidupan baginda?
Presiden Pusat Penyelidikan Islam Amerika, Columbus, Ohio dan Ahli Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah, Dr Salah Sultan, berkata tiada salahnya membiarkan rambut panjang sekiranya seorang itu menjaganya dengan baik.
Ini kerana katanya, Nabi s.a.w dilaporkan bersabda (bermaksud): "Sesiapa yang mempunyai rambut, peliharalah ia" dan dilaporkan juga yang Nabi s.a.w mempunyai rambut panjang.
Bagaimanapun, menurutnya, seseorang itu sewajarnya mengikut pertimbangan adat umum satu-satu masyarakat.
"Tidak dianjurkan bagi Muslim melakukan yang berbeza dengan adat masyarakat, selagi adat itu tidak diharamkan," katanya, dipetik dalam satu laman sesawang soal jawab berkaitan hukum.
Justeru, katanya, sekiranya membiarkan rambut panjang secara adatnya memperlihatkan sebagai tabiat buruk dalam sesetengah masyarakat, Muslim sewajarnya menghormati nilai itu walaupun dia lebih gemar berambut panjang.
Ulama berpendapat, membiarkan rambut panjang bukannya sunnah dan perkara mendatangkan ganjaran kepada seseorang, bahkan ia hanya lebih kepada adat serta tradisi, malah dilaporkan ia adat kebiasaan orang Arab.
Nabi s.a.w dilaporkan membiarkan rambutnya panjang dan mencukurnya. Baginda tidak mengatakan apa-apa ganjaran bagi orang yang membiarkan rambut panjang atau berdosa apabila mencukurnya. Tetapi baginda memerintahkan lelaki menjaga rambut.
Begitupun, lelaki Muslim yang memilih untuk membiarkan rambut panjang harus berwaspada supaya jangan sampai menyerupai wanita kerana ia dilarang sama sekali oleh Islam. Begitu juga sebaliknya, wanita dilarang menyerupai lelaki.
Ibnu Abas r.a melaporkan: "Nabi s.a.w mengutuk lelaki yang menyerupai wanita." (Hadis riwayat Al-Bukhaari)
Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, 1993 ada menyatakan, yang baginda ada menyimpan rambut tetapi caranya atau kaifiatnya itu bermacam-macam riwayat.
"Sesetengah riwayat, rambut Rasulullah itu panjang sampai ke telinga, setengah riwayat sampai cuping telinga dan ada lagi riwayat lain yang mengatakan rambut baginda itu jejak ke bahu."
Menurut fatwa itu, Imam Nawawi menanggung perselisihan riwayat berkenaan kerana berselisih masa, iaitu masa bergunting, rambutnya akan panjang sampai cecah di bahu, dengan setiap orang yang melaporkan riwayat terbabit memberitakan apa yang dia lihat pada suatu masa.
Jadi di sini jelas, rambut Nabi s.a.w bukanlah terlalu panjang sebagaimana dijadikan alasan bagi mereka yang lebih cenderung berambut panjang melepasi batas bahu, hingga menimbulkan kekeliruan dari segi gender.
Seorang lelaki Islam itu sangatlah dilarang berambut panjang sekiranya ia disebabkan perbuatan meniru bangsa bukan Islam dan bertujuan menunjuk-nunjuk, malah gagal menjaganya dengan rapi.
Demikian juga, perbuatan membiarkan sebahagian kepala berambut panjang, manakala yang lain dipendekkan atau dicukurkan atas alasan mengikut gaya terkini dan kelihatan lebih 'mengancam' turut diharamkan.
Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang meniru orang, dia seorang daripada mereka." (Hadis riwayat Abu Daud).
Prof Undang-Undang Perbandingan Universiti al-Azhar, Dr Sabri Abdul-Ra'oof, menyatakan Islam adalah satu ajaran universal yang sah bagi semua orang di semua zaman.
Islam katanya, tidak sekali-kali melarang sesuatu kecuali ia bertentangan dengan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w.
"Demikian itu, ia adalah tugas Muslim untuk mengikuti contoh orang yang betul dan tidak membenarkan mana-mana perkara bidaah dalam Islam. Dengan itu, dia tidak meletakkan tabiat ganjil bukan Muslim dalam gaya rambut mereka.
"Ijmak ahli perundangan bersetuju yang qaz' (mencukur sebahagian kepala dan meninggalkan yang lain) adalah dilarang kerana Nabi s.a.w memberikan ingatan terhadap larangannya, dengan bersabda: "Cukur semua atau tinggalkan ia semua."
Imam Ibn Hajar Al-'Asqalani melaporkan dalam kitabnya, Fathul-Bari, yang mana Abu Daud menyatakan Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Qaz' ialah tabiat orang Yahudi."
Bagi remaja Muslim, sudah semestinya mengikuti gaya yang sesuai dengan agama dan norma masyarakat, sekali gus melupakan angan-angan untuk meniru rupa rambut golongan bukan Islam.
Memang benar rambut adalah kebebasan peribadi, tetapi seseorang itu sewajarnya menggunakan kebebasan pada tujuan yang lebih berfaedah untuk diri dan masyarakat, bukannya yang meruntuhkan nilai agama serta masyarakat.
Dalam soal ini, Abdullah Nasih Ulwan dalam karyanya menyatakan pendapat yang lebih tegas, dengan katanya, pemuda yang berambut panjang, beraksi pondan, bergaya seperti wanita serta menyerupai wanita adalah peniruan membuta tuli.
"Nabi memanjangkan rambut, baginda tidak keluar di hadapan orang ramai dengan kepalanya terdedah, malah dia memakai serban, iaitu mahkota kenabian dan syiar Islam," katanya.
Menurutnya, memanjangkan rambut pada hari ini melambangkan syiar anak tepi jalan dan tanda keruntuhan moral.
"Bukankah tabiat memanjangkan rambut dan membiarkannya panjang hingga kepada kedua-dua bahu itu suatu penyerupaan yang nyata dengan wanita, sedangkan Allah melaknati lelaki yang menyerupai wanita."